Tuesday, 27 March 2018

Pusat rawatan al-Hidayah Umbai dan Bukit Gambir

Assalamualaikum

Segala puji-pujian hanya untuk Allah s.w.t pencipta sekalian alam. Selawat dan salam untuk rasul junjungan tercinta Nabi Muhammad s.a.w serta seluruh ahli keluarga baginda dan juga para sahabat.

Apakah kaitan pusat rawatan al-hidayah dengan Bukit Gambir? Sayalah yang mengaitkan antara dua tempat ini. Alkisahnya, saya pergi menemani emak untuk buat rawatan di sini. Pada mulanya kami hendak pergi pusat rawatan kemudian pergi ke kedai untuk beli barang untuk berniaga petang nanti. Masa saya baru sahaja meletakkan kereta berhadapan dengan kedai 99 Speed Mart, Mak Andak telah menghubungi emak saya. Kata beliau, "De, aku nak datang rumah kau ni. Aku dah siap dah ni. Tinggal nak bergerak ke rumah kau je ni"

Emak saya menjawab, "eh kau tunggu aku dekat Bukit Gambir la. Aku nak beli baju raya la."

Kata mak Andak, "oh ha yelah. Nanti jumpa kat Bukit Gambir."

Jadi bermulalah pengembaraan saya dengan mak ke Bukit Gambir. Rancangan yang tidak dirancang. Boleh ke ayat macam tu. Hahaha! 

 Selain membeli belah baju raya, kami juga borong buah durian dan juga lokan.
Sekilo RM5. Harga nak tutup gerai. Mula-mula RM6 kalau tak silap. Satu beg plastik ini bersaman dengan 10kg. Tapi abang tu suruh bayar RM45 je.

Saya cuba panggang lokan. Dulu saya pernah panggang tiram dengan kupang. Tapi lokan menghasilkan lebih banyak air berbanding tiram dan kupang. Jadi rasanya sama saja macam direbus.

Tengoklah buih dia.

Dah terbuka sedikit. Saya cuba tengok dalam cengkerang. Sekalinya saya ternampak lokan tengah menggeliang geliut. Aduh ngeri pula. Hahaha. Liat juga nyawa lokan ni.

Masa ini pun dia masih hidup lagi. Lepas itu saya terbalikkan cengkerang, barulah dia diam tak bergerak lagi.

Dah masak dah. Sedap. Manis dan masin semulajadi.
Anda suka makan lokan? Kalau yang belum pernah cuba, silalah cuba. Sangat sedap. Tak rugi merasa. Tapi kalau yang ada penyakit gout tu janganlah cuba-cuba. Nanti merana. Hehehe!

Seronok juga kan jalan-jalan. Santai-santai saja. Ada rezeki boleh jalan lagi.

Sekian, jumpa lagi!

Maggi Kupang

Assalamualaikum

Segala puji-pujian kepada Allah s.w.t pencipta sekelian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w serta seluruh ahli keluarga baginda dan para sahabat.

Sekarang ini saya rajin layan variety show Korea. Dari dulu lagi rajin melayan cerita-cerita ini. Mula-mula saya tonton running man, kemudian Infinity challenge. Selepas berhenti kerja saya layan 2days 1night season 3. Paling tak tahan tengok rancangan Korea ini bila scene mereka makan. Aduhai, memang tak tahan tau. Habis punah ranap diet saya. Yang paling menyelerakan bila mereka makan mi segera. Iyalah makanan yang lain tu memang nampak sedap tapi susah nak dapat tengah-tengah malam. Mahal pula tu. Yang paling mudah ialah mi segera. 

Lepas itu, kalau tengok mereka makan makanan laut. Kecur dibuatnya. Jadi timbullah idea saya untuk buat maggi kupang. Saya pun belilah kupang di Telok Mas. Sekilo RM 10. Mahal dah. Dulu sekilo RM 6 saja. Tak mengapalah, dah begitu aturan hidup.

Saya pun masaklah maggi saya dengan beberapa ekor kupang. Sebenarnya tak sedap sangat sebab kupangkan menghasilkan air kalau dimasak. Jadi maggi saya jadi macam tawar. Nak kata tawar tidak juga. Masin sangat. Perencah sudah masin, ditambah pula dengan kupang yang semulajadi masin. Saya fikir bukan tawar dengan rasa masin tapi tawar dengan rasa kari. 

Kena buat lagi untuk dapatkan rasa yang sempurna. Belum berkesempatan. Jom tengok gambar dulu.




Sekian, jumpa lagi!

Saturday, 24 March 2018

Aktiviti Masa Lapang Jilid 2: Pemeriksaan Gigi

Assalamualaikum

Segala puji-pujian hanya untuk Allah s.w.t. Selawat dan salam untuk Nabi Muhammad s.a.w dan seluruh ahli keluarga baginda.

Hai semua! Sebelum ini saya ada kongsikan aktiviti masa lapang saya iaitu menghadiri kelas membuat roti. Selepas menghadiri kelas membuat roti tempohari, saya masih belum lagi berkesempatan untuk membuat roti yang telah saya pelajari kerana barang-barang untuk membuat roti tidak lengkap dan tiada mesin penguli. 

Sebenarnya boleh sahaja menggunakan tangan tapi nak menutupi sifat malas, kita gunalah alasan yang pelbagai kan.  Hahaha! Bak kata pepatah, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Tak mengapalah. Moga-moga Allah akan permudahkan untuk saya menguli roti suatu hari nanti. Dan semoga Allah lindungi kita semua dari sifat malas.

Aktiviti saya seterusnya ialah dengan mengunjungi klinik gigi. Acara mengunjungi klinik gigi ini bukanlah asing bagi saya kerana beberapa tahun sebelum ini saya memang rajin buat pemeriksaan gigi di klinik. Tapi, masa saya masih bekerja dahulu, saya buat pemeriksaan gigi di klinik swasta memandangkan ada peruntukan dari pejabat untuk rawatan gigi. Lagi pula, saya boleh datang pada hari Sabtu dan tak perlu ambil cuti khas semata-mata untuk buat pemeriksaan gigi.

Saya masih ingat lagi sewaktu pertama kali membersihkan gigi. Ya Allah! Kotornya gigi saya. Penuh dengan karang gigi. Saya rasa kali terakhir saya buat pemeriksaan ketika di sekolah rendah. Kalau tidak silaplah. Akhirnya saya telah mendapat hidayah dari Allah untuk membersihkan gigi saya dari karang-karang yang terkutuk. Hahaha! Syukur alhamdulillah.

Masa pertama kali membersihkan gigi (tak ingat tahun berapa) selepas kali terakhir di sekolah rendah, doktor ada pesan, semasa prosedur dijalankan andainya cik hendak meludah, sila angkat tangan. Oleh kerana gigi saya agak kotor ketika itu, agak kerap saya mengangkat tangan untuk meludah karang gigi yang telah tertanggal. 

Selepas pemeriksaan tersebut, saya teruskan dengan pemeriksaan seterusnya pada tahun-tahun berikutnya. Tak dapat juga hendak buat 6 bulan sekali. Tapi dapat buat setahun sekali pun sudah memadai. Selepas itu, saya semakin rajin menjaga kebersihan gigi walaupun gigi saya tak putih. Saya gosok gigi dengan kerap serta berkumur menggunakan cecair pembersih mulut. Biasanya saya akan gosok gigi pada:

1. Selepas sarapan pagi
2. Selepas makan tengahari
3. Sebelum solat asar
4. Selepas mandi dan makan malam
5. Sebelum tidur
6. Selepas bangun dari tidur

Masa saya kurang prihatin dengan kebersihan oral, saya cuma gosok gigi pagi lepas bangun tidur dan sebelum tidur atau bila-bila yang saya rasa kurang selesa. Tapi sekarang dah jadi rutin menggosok gigi. Biar muka tak cantik, jangan mulut dan ketiak bau busuk. 

Sekarang saya tidak lagi bekerja seperti dahulu tetapi tidak bermakna saya tidak perlu mengunjungi klinik gigi. Tahun lepas saya tidak berkesempatan untuk ke klinik gigi atas sebab-sebab tertentu. Tahun ini saya sedaya upaya berusaha untuk buat pemeriksaan gigi. Pada 20 Mac 2018, saya telah mengunjungi Klinik Pergigian Umbai. Memandangkan saya tidak bekerja, tiada pendapatan, kenalah menggunakan perkhidmatan kerajaan kerana kosnya amat murah. Terima kasih kerajaan Malaysia. Kebetulan saya nak ambil stok ubat untuk ayah saya, jadi teruslah saya singgah di klinik gigi tersebut. Untuk makluman, klinik kesihatan dengan klinik gigi adalah di dalam satu bangunan. Mudahkan!

Berdebar juga walau sudah berkali-kali buat pemeriksaan gigi.

Alhamdulillah, doktor yang bertugas memeriksa gigi saya melaporkan bahawa gigi saya dalam keadaan bersih. Walau bagaimanapun, masih terdapat sedikit karang dibahagian bawah gigi hadapan. Kata doktor "gigi kamu bersih". Sama macam iklan Colgate. Hehehe!

Gigi geraham bongsu saya tumbuh dalam keadaan yang tidak sempurna. Keluar tak penuh dan tertindih dengan gigi lain yang menyebabkan terjadinya jangkitan dan berlubang. Masih kecil lubangnya. Doktor sarankan supaya saya buang gigi tersebut. Insyaallah, suatu hari nanti saya akan buat seperti yang disarankan. 

Itulah aktiviti saya di masa lapang dan tatkala kebosanan. Aktiviti anda bagaimana?

Sekian, jumpa lagi!





Wednesday, 21 March 2018

Aktiviti Masa Lapang Jilid 1: Belajar buat roti

Assalamualaikum

Banyak aktiviti menarik yang boleh kita buat untuk memenuhi masa lapang. Salah satunya ialah belajar buat roti. Minggu lepas saya berkesempatan untuk menyertai kelas membuat roti. Alhamdulillah mak bayarkan duit yuran. Hehehe saya manalah ada duit nak bayar yuran. Kebetulan yuran pun tak adalah mahal sangat. Mudah-mudahan mak dilapangkan rezeki dan dipermudahkan segala urusan.

Lepas kelas berakhir minggu lepas, saya masih belum berkesempatan untuk membuat roti yang telah saya pelajari. Tak apalah. Nanti ada masa dan rezeki bolehlah buat. Jom tengok gambar saya di dalam kelas.

Lepas menguli menggunakan mesin noxxa, kita kenalah uli menggunakan tangan juga untuk buat roti yang kita suka.


Letak sosej. Kalau buat sendiri letak la sebatang. Ini guna barang cikgu jadi letak sebelah sosej je. Hehehe

Balutkan dia 

Hiris-hiriskan menjadi 10 hirisan. Putuskan sosej tapi jangan putuskan doh. Saya dah tersilap. Dapat 7 hirisan sahaja.

Tolak-tolakkan dia. Hahaha tangan kayu. Tak berapa menjadi. Tapi oklah tu.

Ini roti yang dah siap bakar.




Roti pizza.

Roti sosej lagi.

Buat sos butterscotch. Untuk dimakan dengan roti sarang lebah. Roti sarang lebah gambar tapi malas nak muatnaik.


Mexican bun tapi tak berapa menjadi. Habis bocor mentega dalam roti. Nanti boleh cuba buat lagi.

Banyak lagi gambar tapi bercinta sungguh nak muat naik. Jadi kita tengok apa yang ada jelah kan.

Bolehlahkan daripada tak ada buat apa-apa dekat rumah. Sebenarnya Banyak je kerja kat rumah tapi sesekali kenalah keluar buat aktiviti. Kalau tak bosannya. Kepada sesiapa yang rasa bosan bolehlah cari aktiviti macam ini. Ilmu dapat, bosan pun hilang. 

Jumpa lagi.

Thursday, 1 March 2018

Telur goreng dan ikan bilis goreng

Assalamualaikum

Hari ni masak ringkas je sebab nak keluar beli barang niaga kejap lagi. Ringkas tapi sedap. Saya suka sangat. Hampir-hampir saya nak batalkan niat untuk berpuasa kerana dua juadah ini. Tapi kita kena kuatkan iman. Lepas berbuka nanti boleh juga makan. Hehehe!

Juadah apa yang sedap sangat tu. Jom tengok gambar!


Telur goreng. Saya tak dadarkan. Goreng sebiji-sebiji tapi sekaligus. Lepas tu tuang kicap. Perghhh sedap gila.

Ini pulak ikan bilis dengan bawang. Ada orang goreng sekaligus. Saya goreng asing sebab taknak ikan bilis jadi lembik dan tak rangup. Masa nak makan nanti baru gaulkan bawang dengan ikan bilis. Saya letak bawang merah, bawang putih dan cili padi.

Itu sahaja untuk hari ini. 

Jumpa lagi!

Wednesday, 28 February 2018

Telur Masin Masak Lemak


Assalamualaikum
Hari ini saya nak masak telur asin masak lemak. Ada orang panggil telur masin. Tak kisahlah yang penting dia memang masin. Masakan ini permintaan mak saya. Semalam kami menziarahi saudara mara dekat Batu Pahat. Dalam perjalanan saya berhenti beli pau. Kebetulan ada jual telur masin. Satu bekas ada 5 biji RM 6. Ingatkan murah. Bila sampai di rumah mak saudara, saya nampak dekat dapur dia ada telur masin juga. 6 biji satu bekas. Dia cakap dia beli cuma RM6. Murah lagilah dia beli berbanding saya. Tak apalah. Rezeki masing-masing. 

Saya ni bukannya pandai sangat masak. Kalau masak tu ikut suka saya je. Jadi nanti kalau ada orang cuba resepi saya ni, kena la olah sikit untuk mesrakan tekak masing-masing.

Bahan-bahan yang kita perlukan ialah seperti di bawah:


Bawang merah, bawang putih, cili api, kunyit hidup (nak guna kunyit serbuk pun boleh) dan serai. Semua bahan-bahan ni dikisar sehingga lumat. Ada orang suka letak buah keras. Saya suka juga tapi sebab dah habis. Kita guna apa yang ada je. Rasanya lebih lemak kalau letak buah keras.

Bahan seterusnya ialah asam jawa. Sebenarnya saya da hampir terlupa nak letak asam jawa. Rupanya mak saya kata nak letak boleh, taknak letak pun boleh. Ikutlah selera masing-masing.


Bahan paling penting iaitu telur masin. Salted eggs.

Saya tak berapa suka guna yang salut tanah tu. Lebih selesa guna yang direndam air garam sebab senang nak bersihkan.

Titik-titikkan serai

Kelapa parut. Saya suka guna santan kotak sebab lebih mudah dan lebih berkrim tapi mak tak suka. Kenalah ikut selera orang sakit. Saya guna sikit je. Jadi cair sikitlah masak lemak saya ni. Maklumlah mak dan ayah saya sakit jantung. Kenalah berhati-hati. Hehehe

Perah..perah..adehh penat juga.

Masukkan bahan yang dikisar tadi dengan santan cair serta asam jawa. Biarkan dia mendidih sekejap.

Haa bagi sesiapa yang tak pernah tengok telur masin yang belum rebus, inilah dia. Sebenarnya saya pun baru pertama kali tengok yang mentah ni. Terkejut tengok kuning dia keras. Hahaha


Bila dah mendidih masukkan telur tadi satu persatu.

Ini dia. Biar telur ni mendidih sampailah kuning dia tu jadi warna kuning keruh.

Bila kuning dia da keruh, masukkan santan pekat. Kacau-kacau kan sekejap sebelum tutup api. Biarkan dia mendidih sambil tu kacaukan supaya tak pecah minyak.

Saya tak letak garam sebab telur dah masin. Terpulanglah pada citarasa masing-masing. Selamat mencuba!

Jumpa lagi!

Monday, 26 February 2018

Ikan tenggiri masak sambal dan lobak putih masak air

Assalamualaikum
Lepas saya cerita pasal kedai kecil depan rumah, kita beralih pula ke cerita seterusnya. Masak-memasak!

Iya, memasak. Saya dulu tak suka memasak. Lepas berhenti kerja, tak dapat tidak memang kena masak sebab ayah dan mak nak makan. Kadang-kadang mengelat juga, beli je lauk dah siap masak dekat kedai makan. Hehehe!

Saya masak apa hari ni. Haa jom kita tengok gambar lauk pauk saya. Ringkas je tapi sedap!

Inilah sambal ikan tenggiri. Sedap. Sebab apa sedap? Sebab saya yang masak. Hehehe

Ini pula lobak putih masak air. Saya rendam lama sikit dengan garam. Nak buang pahit. Alhamdulillah tak pahit.

Inilah dia lauk untuk hari ini. Ringkas sahaja.
Alhamdulillah untuk rezeki hari ini. Kenyang perut suka hati. Saya tak letak resepi sebab makanan ini ringkas sangat. Rasanya semua rakyat Malaysia boleh masak masakan ini. 

Jumpa lagi!

Berniaga kecil-kecilan depan rumah

Assalamualaikum
Lama dah tak update blog. Takde cerita menarik nak dikongsi. Walaupun begitu, saya akan cuba menjadikan kehidupan saya menarik agar dapat dikongsikan kisahnya kepada orang lain.

Selepas berhenti kerja tahun lepas, saya mula berniaga kuih raya. Saya hantar ke kedai-kedai berhampiran dengan rumah saya. Pendapatan kurang memuaskan tapi saya memperolehi pengalaman yang sangat berharga. Macam-macam yang berlaku dalam tempoh  tak sampai setahun saya berhenti kerja. Saya bergelut dengan perasaan yang gundah-gulana sebab dah takde sumber kewangan, umur dah banyak tapi takde kerja, bercinta tapi tak kesampaian. Hahaha. Dan banyak lagi.

Suatu hari dalam bulan 12 tahun lepas saya dapat panggilan temuduga dan diminta lapor diri segera di Cheras. Tuhan saja yang tahu betapa gembira hati saya. Jawatan pun bagus, Education and training Manager. Woww!

Tapi, kusangkakan panas sampai ke petang, rupanya hujan ditengahari. Tidak seperti yang saya harapkan walaupun jawatan itu bagus. Akhirnya saya lepaskan jawatan saya dan kembali semula ke Melaka. Kebetulan pula, banyak masalah berlaku di Melaka yang membuatkan saya melepaskan jawatan tersebut.

Anehnya, saya jadi sangat gembira. Hati saya lapang, selera makan saya bertambah-tambah. Tidak seperti masa saya berhenti kerja mula-mula dulu. Bukanlah bermakna saya dah taknak kerja. Masih lagi mencari dan banyak syarikat saya deposit resume saya tapi masih belum ada rezeki. Saya bersangka baik dengan Allah dan saya menghargai momen saya yang masih tidak bekerja lagi. Dalam erti kata lain, kita enjoyyyyy!

Tak enjoy sangat sebab takde duit. Hahaha. Bila takde duit apa yang perlu kita buat? Kenalah cari duit. Apa yang saya lakukan ialah berniaga depan rumah. Hasil buah fikiran daripada adik beradik saya. Mula-mula saya jual air tembikai dengan keropok corntoz. Dua benda ini saja saya jual. Hari pertama dapat rm3.50. Hari kedua tak dapat apa-apa. Hari ketiga saya jual air gas dan tambah lagi jajan yang lain sampailah ke hari ini. Walaupun untung tak seberapa tapi membantu jugalah untuk saya beli makanan dan minuman yang saya suka. Kadang-kadang saya beli lauk tengahari kalau malas masak dengan duit hasil jualan saya itu. Alhamdulillah. Oklah kan daripada saya baring je tak buat apa-apa. Sekurang-kurangnya ada juga aktiviti.

Biar saya kongsikan gambar kedai saya depan rumah.

Inilah kedai saya. Dah banyak jenis makanan ringan.

Ini kedai saya masa beberapa hari dibuka.

Wahhh! Banyaknyaaa..mari beli!




Walaupun untung tidak seberapa tapi kita tetap kena berusaha, selebihnya kita serah pada Allah. Jangan putus asa sebab rezeki kita Allah dah tentukan. Sekarang saya lebih tenang sebab saya dah betul-betul redha dengan apa yang telah berlaku. Hilang kerja, hilang cinta. Hehehe. Yang penting kita kena sentiasa berusaha dan bersangka baik dengan Allah dan berdoa selalu. Saya masih lagi mencari kerja, moga diperjodohkan dengan kerja yang baik-baik disamping perniagaan yang maju. Amin!

Bye!