Assalamualaikum
Segala puji-pujian hanya untuk Allah s.w.t. Selawat dan salam untuk Nabi Muhammad s.a.w dan seluruh ahli keluarga baginda.
Hai semua! Sebelum ini saya ada kongsikan aktiviti masa lapang saya iaitu menghadiri kelas membuat roti. Selepas menghadiri kelas membuat roti tempohari, saya masih belum lagi berkesempatan untuk membuat roti yang telah saya pelajari kerana barang-barang untuk membuat roti tidak lengkap dan tiada mesin penguli.
Sebenarnya boleh sahaja menggunakan tangan tapi nak menutupi sifat malas, kita gunalah alasan yang pelbagai kan. Hahaha! Bak kata pepatah, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Tak mengapalah. Moga-moga Allah akan permudahkan untuk saya menguli roti suatu hari nanti. Dan semoga Allah lindungi kita semua dari sifat malas.
Aktiviti saya seterusnya ialah dengan mengunjungi klinik gigi. Acara mengunjungi klinik gigi ini bukanlah asing bagi saya kerana beberapa tahun sebelum ini saya memang rajin buat pemeriksaan gigi di klinik. Tapi, masa saya masih bekerja dahulu, saya buat pemeriksaan gigi di klinik swasta memandangkan ada peruntukan dari pejabat untuk rawatan gigi. Lagi pula, saya boleh datang pada hari Sabtu dan tak perlu ambil cuti khas semata-mata untuk buat pemeriksaan gigi.
Saya masih ingat lagi sewaktu pertama kali membersihkan gigi. Ya Allah! Kotornya gigi saya. Penuh dengan karang gigi. Saya rasa kali terakhir saya buat pemeriksaan ketika di sekolah rendah. Kalau tidak silaplah. Akhirnya saya telah mendapat hidayah dari Allah untuk membersihkan gigi saya dari karang-karang yang terkutuk. Hahaha! Syukur alhamdulillah.
Masa pertama kali membersihkan gigi (tak ingat tahun berapa) selepas kali terakhir di sekolah rendah, doktor ada pesan, semasa prosedur dijalankan andainya cik hendak meludah, sila angkat tangan. Oleh kerana gigi saya agak kotor ketika itu, agak kerap saya mengangkat tangan untuk meludah karang gigi yang telah tertanggal.
Selepas pemeriksaan tersebut, saya teruskan dengan pemeriksaan seterusnya pada tahun-tahun berikutnya. Tak dapat juga hendak buat 6 bulan sekali. Tapi dapat buat setahun sekali pun sudah memadai. Selepas itu, saya semakin rajin menjaga kebersihan gigi walaupun gigi saya tak putih. Saya gosok gigi dengan kerap serta berkumur menggunakan cecair pembersih mulut. Biasanya saya akan gosok gigi pada:
1. Selepas sarapan pagi
2. Selepas makan tengahari
3. Sebelum solat asar
4. Selepas mandi dan makan malam
5. Sebelum tidur
6. Selepas bangun dari tidur
Masa saya kurang prihatin dengan kebersihan oral, saya cuma gosok gigi pagi lepas bangun tidur dan sebelum tidur atau bila-bila yang saya rasa kurang selesa. Tapi sekarang dah jadi rutin menggosok gigi. Biar muka tak cantik, jangan mulut dan ketiak bau busuk.
Sekarang saya tidak lagi bekerja seperti dahulu tetapi tidak bermakna saya tidak perlu mengunjungi klinik gigi. Tahun lepas saya tidak berkesempatan untuk ke klinik gigi atas sebab-sebab tertentu. Tahun ini saya sedaya upaya berusaha untuk buat pemeriksaan gigi. Pada 20 Mac 2018, saya telah mengunjungi Klinik Pergigian Umbai. Memandangkan saya tidak bekerja, tiada pendapatan, kenalah menggunakan perkhidmatan kerajaan kerana kosnya amat murah. Terima kasih kerajaan Malaysia. Kebetulan saya nak ambil stok ubat untuk ayah saya, jadi teruslah saya singgah di klinik gigi tersebut. Untuk makluman, klinik kesihatan dengan klinik gigi adalah di dalam satu bangunan. Mudahkan!
Berdebar juga walau sudah berkali-kali buat pemeriksaan gigi.
Alhamdulillah, doktor yang bertugas memeriksa gigi saya melaporkan bahawa gigi saya dalam keadaan bersih. Walau bagaimanapun, masih terdapat sedikit karang dibahagian bawah gigi hadapan. Kata doktor "gigi kamu bersih". Sama macam iklan Colgate. Hehehe!
Gigi geraham bongsu saya tumbuh dalam keadaan yang tidak sempurna. Keluar tak penuh dan tertindih dengan gigi lain yang menyebabkan terjadinya jangkitan dan berlubang. Masih kecil lubangnya. Doktor sarankan supaya saya buang gigi tersebut. Insyaallah, suatu hari nanti saya akan buat seperti yang disarankan.
Itulah aktiviti saya di masa lapang dan tatkala kebosanan. Aktiviti anda bagaimana?
Sekian, jumpa lagi!
No comments:
Post a Comment